Thursday, 20 March 2014

[CERPEN] Saya. Awak. Kita.


Pija tunduk memandang jari yang berinai. Inai dia tak semerah pengantin lain yang dia pernah tengok. Yelah, dia pakai pun sebab suka-suka saja tapi tak sangka, inai yang dipakai ini akan jadi inai pengantin. Sesekali dia mengerling si lelaki yang bersila di depan ayah. Nafas dihela. Entah kenapa mesti ini yang terjadi. Nak salahkan takdir? Berdosa besar tu. Ini ketentuan Allah. Siapalah Pija nak melawan, apatah lagi bila maruah keluarga yang menjadi taruhan.
Pija hela nafas sekali lagi. Muhammad Aufa. Nama yang unik. Tuannya? Entahlah, tak tahu nak cakap unik ke tak. Sepatutnya bukan Aufa yang jadi pengantin lelaki tapi disebabkan abang Aizat lari ikut kekasih dia, dia terpaksa jadi galang ganti. Yang buat kes lari-lari ni makin pelik bila kakak Pija, si pengantin perempuan yang asal, lari ikut kekasih hatinya, si pemandu teksi dan dia, Shafiza Iman yang harus jadi galang gantinya.
“Pengantin lelaki dah sedia?” Suara tok kadi buat Pija angkat muka. Dalam hati berdoa, agar si lelaki tiba-tiba berdiri dan cakap tak bersedia.
“InsyaAllah, saya dah sedia,” Pija terus rasa layu bila si lelaki bersuara. Pija tarik nafas lalu dihembus perlahan. Moga Allah beri kekuatan pada diriku, bisik hati Pija.

Aufa rasa tangannya menggeletar. Entah kenapa dia yang harus duduk bersila di depan bapa pengantin perempuan. Entah di mana silapnya, bila pengantin yang sepatutnya bersila di tempatnya, lari dengan jantan lain. Ya, jantan a.k.a lelaki. Alongnya songsang. Astaghfirullahal’azim. Mengucap panjang ibu bila along pagi tadi terus berlari keluar dan naik kereta dengan seorang mat saleh. Dahlah sekali dengan baju pengantin dia lari. Abah? Terus rebah. Pitam kat laman.
Dia waktu tu tercengang. Tak tahu nak buat apa dan last sekali, dia pun menjadi galang ganti demi maruah keluarga. Si pengantin perempuan? Dia tak kenal pun. Dia pernah jumpa si pengantin ni pun sewaktu merisik, meminang, bertunang dan er… hari nilah. Dengar kata, dia pun jadi galang ganti jugak, si pengantin perempuan yang betulnya dah lari ikut pemandu teksi.
“Pengantin lelaki dah sedia?” Tersentak sekejap. Bibir ukir senyum tapi bukan dari hati.
Niat di hati, nak berdiri dan cakap, saya tak sedia! Saya tak nak kahwin! Tapi entah kenapa, dia jatuhkan kepala, mengangguk, “InsyaAllah, saya dah sedia.”
Dan bermulalah kisah mereka berdua. Aufa dan Pija.