Friday 5 October 2012

Tentang Perasaanku



“Cantikkan dia?”
“Siapa dia tu?”
“Aku dengar nama perempuan tu unik seunik perangainya.”
“Gaya macam perempuan habis tapi perangai mengalahkan jantan.”
Aku lontarkan  pandangan ke arah perempuan yang menjadi perhatian ramai.  Betullah! Memang unik budak perempuan itu. Dengan wajah yang cemberut.  Rambut panjang lepas ke bahu. Dia memang cantik walaupun wajahnya masam.
“Andika, apa yang kau tengok sampai tak berkelip mata?”
Aku sengih tak menjawab. Biarlah rahsia.
“Wei, kau Syeh Ahmad Syabil kan?” Tiba-tiba perempuan itu bersuara lantang. Terkejut aku. Syed Ahmad Syabil, rakan sekuliahku yang popular dengan gelaran Buaya tersedak bila disergah sebegitu oleh si perempuan.
“Ye, aku Syabil. Kau siapa?”
Aku dapat lihat perempuan itu tersenyum sinis. Ikatan sweater di pinggangnya, diketatkan. “Aku? Your worst nightmare!”
“Your another stupid fans, Syabil?” Perempuan di sebelah Syabil bersuara.
“Eh, perempuan bodoh macam kau je suka mamat macam ni!” Ujar si perempuan unik sebelum kembali bersuara pada Syabil. “Aku ada hadiah untuk kau.”
“Tak minat, tapi ada hadiah,” gadis di sebelah Syabil menyindir.
Aku lihat, gadis unik itu memegang gelas sirap yang ada di depan Syabil, “This is your present!”
Dan aku lihat Syabil sudah basah dengan air yang berwarna merah itu.
“Kau!” Syabil dah berdiri.
“Ini first warning dari aku! Jangan mainkan Aliya. Kalau tak, siap kau!”  Pempuan itu berpaling dan sebelum berlalu, aku dengar dia bersuara, “Dan make sure kau ingat nama aku. Adinda Amani. Remember that!”
Dan aku lihat dia berlalu pergi. Unik. Itulah dia. Adinda Amani. Wajahnya yang cemberut telah meninggalkan kesan dihatiku. Apakah?

Tanganku rancak memetik gitar kapok kesayanganku. Gitar yang aku beli sewaktu aku di tingkatan empat dengan menggunakan duit aku sendiri. Gitar kesayanganku yang aku usung ke sana ke mari. Dari zaman sekolah, masuk ke zaman matrikulasi sampailah masuk zaman universiti.
“Andika!”
Aku angkat muka merenung Helmi yang bersandar di muka pintu, “Kenapa?”
“Jom pekena mamak malam ni.”
Aku kerling jam di dinding, dah pukul 11.30 malam, “Siapa lagi join?”
“Alif, Odie dengan Ayie. Jomlah!”
Aku angguk, “Kejap, bagi aku sepuluh minit!”
Helmi mengangguk dan terus berlalu. Aku pula bangun dari duduk dan terus meletakkan gitarku di atas katil. Baju Body Glove yang separuh lusuh aku sarungkan pada tubuh yang tidak berbaju. Ya, aku tidak setegap Fahrin Ahmad. Badan aku kurus tapi taklah kurus macam Faizal Hussein. Badan aku ni kurang lemak. Pernah orang kampung tuduh aku mat pit. Kureng gila! Ingat muka terpelajar macam aku ni kaki ganja ke?
Rambut aku yang selekeh serebeh, aku kusutkan lagi. Heh, aku rasa diri aku kacak macam ni! Kalau orang lain taruk gel bertan-tan atas rambut, tidak aku! Rambut aku tidak perlu nak tajam-tajam. Aku selesa dengan rambut ala langsir tingkap ni. Rasa macam Noh Hujan pun ada tapi aku lagi kacaklah dari dia.
Kunci motor aku capai dari atas meja solek yang sedikit bersepah. Heh, biasalah! Lelaki kan? Dompet yang nipis aku selukkan ke poket belakang seluar tiga suku aku. Helmet kura-kura yang ada di bawah meja aku ambil dan aku terus melangkah keluar dari bilik.

Berderai ketawa di meja kami saat Ayie mula buka cerita tentang pensyarah kami yang agak pelupa. Eh, bukan agak! Memang pelupa!
“Paling tak tahan bila dia tanya siapa nampak cermin mata dia yang ada elok kat atas kepala dia!”
Berderai lagi tawa kami.
“Eh, tu bukan budak yang nama Adinda tu ke?” Alif menunjuk ke satu arah di sebelah kananku.
Mati terus ketawa aku dan terus aku berpaling ke tepi. Benar. Itu memang dia! Bezanya kali ini, dia memakai sebuah cap dan rambutnya diikat satu. Comel dan... brutal, kot!
“Andika, jangan direnung sangat anak dara orang!”
Aku tersentak dan segera aku ukir sengih, “Relakslah, bukan selalu aku nak usha orang yang berlainan jantina dengan aku.”
“Buang karan je kau usha si Adinda tu. Dia bukannya suka lelaki.”
“Nauzubillah! Apa kau cakap ni, Alif?”
“Tak adalah, aku bukan nak cakap dia lesbian ke apa. Cuma dia kalau dengan lelaki kasar semacam.”
“Mungkin fitrah dia memang macam tu. Jangan cakap sebarangan wei. Boleh jadi fitnah.”
“Wow, that’s a ustaz talking in you!” Dengan nada sikit sarkastik, Ayie bersuara.
“Tak payah nak sarcasm sangat,” balas aku.
“Andika, kau tak pernah nak bela perempuan macam ni,” ujar Ayie.
“Tak pernah kau bersemangat bila bersembang pasal perempuan,” Helmi mengangguk kepala.
Odie ukir sengih, “Adinda ni... bagi kesan yang lain macam kat kau ke?”
Si Alif pun ukir sengih nakal, “Andika, kau dah tangkap cintan ke?”
Aku terus ketawa. Ketawa kuat yang dibuat-buat, “Jangan mengarutlah.”
“Muka kau merah, Andika!”
Aku garu belakang tengkuk. Peluh merenik di dahi, aku biarkan saja. Rahsia sudah pecah ke?
“Jom gerak, wei!” Aku bangun dari duduk. Serentak, kunci motor aku tiba-tiba jatuh. Tak sempat aku nak ambik, si Ayie yang sudah berdiri menendang kunci motorku, dekat pada si Adinda.
“Ayie!” Aku tepuk dahi. Ah, sudah! Balapetaka!
“Kau pergi ambil kunci motor kau kat Adinda. Kami pergi bayar dulu. Lambat, kami blah!” Dan mereka terus berlalu ke kaunter manakala aku ditinggalkan terkulat-kulat.
Aku berjalan mendekati Adinda. Tangan kiri aku seluk ke poket seluar. Berdebarnya hati, hanya aku dan Allah saja yang tahu.
Lagi selangkah aku mahu mendekati meja Adinda, dia sudah bangun dan berlalu ke kaunter. Aduss, melepas!! Kunci motor aku ambil dan aku terus berlalu.

“Wei, motor aku tak nak start ni!” Ayie dah menggaru kepala yang tak gatal. Aku yang tiga meter jauh dah boleh dengar suara dia yang kuat nak mampus tu.
“Kenapa ni?” Aku angkat kening pada Ayie.
“Motor aku tak mau start,” Ayie dah gelabah ayam. Hailah, anak mak sorang ni! Memang macam ni. Manja.
Baru aku nak menolong, ada satu suara yang tiba-tiba menegur, “Kenapa ni?”
Aku berpaling kepada orang di tepiku. Dia! Adinda Amani!
“Er... motor kawan saya tak boleh start,” ujar aku kepadanya.
“Meh aku tengokkan.”
Mak aih! Bahasakan diri ‘aku’. Aku garu rambut aku yang serabut.
“Boleh ke?” Alif angkat kening, tanda tak yakin pada si Adinda.
“Bro, jangan pandang perempuan sebelah mata,” Adinda menjeling si Alif sedas.
Alif terdiam terus.
“Tepi sikit, boleh tak?” Keras suara yang dia lontarkan pada Ayie, tapi tetap nampak manis. Hehehe...
Tiga kali. Tiga kali aku tengok dia mencuba untuk menghidupkan motor si Ayie tapi motor itu masih tak mahu hidup. Si Ayie dan Alif dah buat muka. Odie pula leka dengan telefon bimbitnya. Si Helmi sekadar menggeleng. Mesti dalam hati mengutuk si Adinda ni.
“Tak boleh, kan? Tak payah nak tunjuk hero, Adinda.”
Adinda angkat kening pada si Alif sebelum bersuara pada Ayie, “Plag motor ni kena ganti sebab tu susah nak start.”
“Betul ke kau ni?”
“Betullah! Aku dah 23 tahun hidup dalam bengkel. Semua pasal motor aku tahu.”
“Memang tak boleh hidup langsung ke?” Ayie bertanya pada Adinda.
“Boleh tapi... aku tak mampu nak hidupkan,” Adinda bersuara sambil mengendang tempat duduk motor Ayie.
“Biar aku try,” aku bersuara.
Adinda pandang aku. Keningnya terangkat sikit memandang aku, “Kau? Kau takkan mampulah. Kurus keding macam tak makan, mampu ke?”
Aku rasa panas sikit bila dikutuk oleh pujaan hati sendiri, “Cik Adinda, jangan pandang rendah pada kekuatan seorang lelaki. Kekuatan seorang lelaki itu bukan terletak pada tubuhnya Cik Adinda!”
Terdiam si manis itu. Wajahnya kulihat berubah warna. Malu mungkin. Cap yang menutup rambutnya ditarik kedepan, menutup wajahnya yang manis itu.
Dengan lafaz Bismillah, aku cuba menghidupkan motor Ayie dan hanya sekali percubaan, motorsikal itu kembali hidup.
“Kan saya dah cakap, kekuatan seorang lelaki bukan pada kurus atau gemuk tubuh itu. Ia datang dari dalaman, Cik Adinda!” Bisik aku perlahan dan aku terus berlalu ke vespa putih milikku.
Adinda aku lihat tergamam terkedu. Aku pulak, rasa nak pitam atas vespa ni. Haih, beraninya kau wahai Andika Isyraf main bisik-bisik dengan anak dara orang!

Bunyi alarm telefon bimbit menganggu tidurku yang nyenyak. Baru aku nak matikan alarm tersebut, mata aku terbuka luas. Sudah pukul 7.30 pagi! Habislah! Habislah! Kelas aku mula pukul 8.00 pagi. Aku segera berlari masuk ke bilik air, aku dah lambat!
Tak sampai sepuluh minit aku mandi, aku segera berlari keluar. Seluar jeans lusuh jenama Levis aku sarungkan ke kaki. Rambut yang basah aku lap sehingga tiada lagi titis air menitik dari hujung rambut. Rambut aku yang separa basah itu aku biarkan saja. T-shirt I Am Lejen aku sarungkan ke tubuh. Perghh!! Kacaknya aku pagi ni!
Bila aku kerling jam di dinding, aku segera berlari keluar dari bilik namun sempat juga aku capai beg sandang dan helmet kura-kura aku tu.
Sampai di kolej, dah tepat pukul 8.00 pagi! Aku parkirkan motor aku di kawasan yang sudah disediakan. Usai mengunci vespaku itu, aku segera berlari meninggalkan kawasan tersebut.
Aku berlari laju menuju ke Bilik Kuliah 1 yang terletak di bangunan akademik tetapi entah bagaimana, aku terlanggar seseorang.
“Maaf! Tak sengaja!” Ucap aku perlahan sambil mengutip fail si dia yang sudah bertaburan di lantai.
“Kalau ye pun nak cepat, tengok-tengoklah kiri kanan!” Ada suara kasar, menegurku namun aku tidak endah saja.
Aku pandang si dia yang sudah berdiri, “Maaf. Saya tak sengaja.”
“It’s okay,” lembut suara itu, selembut tuannya. Cantik!
“Aliya, kau okey?” Nah, suara itu! Suara yang lebih aku kenali. Yang buat detak di dada menjadi makin laju! “Kau buta ke mamat?”
Wah, mulut dia ni! Geram aku. Karang aku cium jugak budak ni! “Eh, Cik Adinda! Awak memang tak pandai cakap elok-elok ke?”
“Heh, kau rupanya!” Si Adinda buat muka. Ei, memang mintak ciumlah budak ni!
Aku senyum nipis segaris pada si Aliya lalu aku mendekati si Adinda yang masih dengan muka cemberut.
“Awak sangat manis bila muka masam macam ni. Buat saya geram!”
Cup!! Pipi Adinda aku cium lembut dan nyata, dia terkedu! Sungguh, memang aku geram dengan dia!
“Kau!!” Dan jeritan Adinda bergema manakala aku terus berlalu tanpa berpaling ke belakang.

Aku keluarkan kertas A4 kosong lalu aku mula menulis surat meminta maaf yang telah diarahkan oleh pensyarahku akibat kelewatan aku ke kelasnya. Padan muka kau, Andika Isyraf!
Pen Kilometrico kegemaranku aku keluarkan dari poket seluar lalu aku mula menulis di atas kertas itu. Baru lima baris ayat aku tulis, mata aku sudah berpinar-pinar. Cermin mata bingkai hitam yang terletak elok di batang hidungku terus aku tanggalkan. Aku kalau bab-bab nak menulis benda formal ni memang payah. Kalau tulis lirik lagu, laju je tangan aku berjalan.
“Adinda, kau pergi cari tempat. Aku nak cari buku.”
Aku paling muka ke sebelah kanan. Nyata si gadis bernama Adinda dan Aliya berdiri di sebelah aku.
“Hati-hati, Aliya!”
Dan gadis yang berwajah lembut itu berlalu manakala Adinda duduk di meja, bertentangan denganku. Aku angkat sikit buku, menutup wajah agar dapat kulihat si gadis yang berwajah masam itu.
 “Hai, takkan skodeng dari jauh. Tegurlah dia.”
Aku kalih pandang  ke kiri. Odie muncul dengan senyum di bibir. Odie, rakan baikku sejak zaman aku berhingus. Cuma dia yang memahami aku sejak dari awal.
“Odie, ni lain ni. Hati aku ni, kalau dekat dengan dia jadi semacam je wei.”
“Chill. Sejak bila Andika Isyraf yang aku kenal jadi macam ni?”
“Sejak aku terjatuh suka dekat budak masam tu,” bibir aku memuncung pada si Adinda.
“Sebenarnya ada benda aku nak cerita pasal si Adinda.”
“Apa?”
“There’s a reason why kenapa dia kasar dengan lelaki.”
“Kenapa?”
“Adinda, lahir dalam family yang penuh lelaki. Kat rumah dia ada empat lelaki, termasuk ayah dia. Dua abang dan seorang adik, yang perempuan cuma ada dia dan ibu dia saja. Yang lain semuanya lelaki. Sampailah satu masa, dia dapat adik perempuan. Dia sangat-sangat menjaga adik dia tu tapi...”
“Tapi?”
“Tapi adik dia kena rogol waktu balik dari mengaji. Dirogol dan dibunuh dengan kejam. Adindalah orang yang paling sedih. Sejak kematian adiknya, dia jadi makin keras. Dengan mana-mana lelaki sekalipun kecuali ayahnya dan dua abangnya. Yang berani menegur dia cuma lelaki yang bertiga itu.”
“Mana kau tahu cerita ni?”
“Aliya! Dia yang cerita semuanya pada aku. Kau nak tau macam mana Adinda pandai pasal motor?”
Aku mengangguk.
“Ayah dia bukak bengkel. Bengkel Adinda nama bengkel tu.”
“Serius?”
“Serius,” Odie mengangguk.
“Aku nak rosakkan vespa akulah. Nak pi hantar kat bengkel tu!”
Pap! Kepalaku dipukul dengan fail yang keras, kening ku angkat sedikit. “Kenapa?”
“Menggedik nak rosakkan vespa!”
Aku ketawa, perlahan. “Mana kau kenal Aliya?”
Odie yang baru nak bukak mulut terus terdiam. “Er...”
“Damn it! Aliya kan perempuan yang kau minat tu?”
“Shush!! Diam sikit. Aku sepak kau karang.”
“C’mon! Baru sekarang kau nak cakap, kan?”
“Ish, aku ada reason aku sendiri untuk tidak bercerita.”
“Apa-apa jelah.”
“Andika, kalau kau betul suka Adinda... pikat dia dengan serius, pinang dia untuk jadi yang halal untuk kau. Dan aku rasa kau mampu nak lenturkan hati dia yang keras tu.”
Dan aku cuma diamkan diri.

Aku pandang Odie. Odie buat isyarat bagus. Ayie buat isyarat kena sembelih. Si Alif menggumam sesuatu namun dapat aku baca. Good luck! Itu yang dia ucap. Si Helmi hanya tersengih memandang aku. Aku berdebar. Ini memang kerja paling gila yang pernah aku buat. Kalau bonda dengan ayahanda tahu, memang mati kena gulai aku.
“Good luck!” Odie tepuk bahu sebelum ingin berlalu.
“Odie, teman aku.”
“Be a man, Andika! Chow dulu!”
Dan aku ditinggalkan seorang diri di atas pentas. Pentas untuk Suara Mahasiswa aku salah gunakan pada hari ini. Bukan niatku tapi aku terpaksa, demi memenangi hati si Adinda.
Pukul 7.30 pagi aku dah ada kat sini dan sekarang dah pukul 8.00 pagi. Sekejap lagi pasti Adinda akan lalu di sini. Aku yakin.
Orang yang lalu lalang mula memandangku dengan pandangan pelik. Mana taknya, pagi-pagi buta aku dah mengusung gitar ke kampus. Ah, ada apahal? Aku kan sempoi!
Tiba-tiba telefon bimbitku bergetar dari dalam poket seluarku. Aku keluarkan telefon itu. Ada satu mesej dari Odie.
‘She’s on the way, kau dah boleh start menyanyi.’
Aku dah mula berdebar. Irama jantung dah berlagu yang entah apa-apa. Habislah! Habislah!
Dalam debaran yang menggila itu, jemariku tetap mula memetik gitar. Akan ku khabarkan padanya... tentang perasaanku.

Aku takkan lelah menunggu
Hingga waktu ajal menjemputku
Takkan pernah sesalku untuk menunggumu

Aku harus tetap menunggu
Hingga nanti aku berbaring
Sampai mati aku akan tetap menunggumu

Dari jauh, aku nampak si Adinda berjalan laju sambil membelek buku nota. Suaraku, kukuatkan lagi agar dia mendengar.
“Ini untuk awak Adinda!”
Dan langkahnya terhenti. Wajahnya dipaling kepadaku. Rahangnya sedikit jatuh. Terkejut mungkin. Aku lihat orang di sekeliling berbisik-bisik sambil memandang ke arahnya. I’m sorry, Adinda! Awak jadi perhatian hari ni! Dan bibirku terukir senyum.

Ingin ku gapai bulan dan ku petik bintang
Ingin ku bagikan semua hanya untukmu
Agar kau tahu besarnya cintaku kepada dirimu


Ku ingin kau tahu tentang perasaanku
Ku ingin kau tahu besar cinta padamu
Ingin ku berikan sisa waktuku
Dan sisa hidupku sampai mati

Baru aku nak mula verse yang kedua, Adinda panjat pentas dan tarik gitar yang ada di tanganku lalu dia hempas ke lantai pentas. Terkedu terus aku. Tangan dan kakiku terus terkunci dari bergerak. Kaku.
“Itu balasan untuk lelaki macam kau!” Ujar dia sebelum berlalu.
Aku pandang gitar aku yang patah dua. Gitar aku. Gitar kesayangan aku! Dan aku terus terjelepuk jatuh.

Seminggu! Seminggu aku demam lepas gitarku menjadi arwah. Patah hatiku lebih teruk dari putus cinta. Aku tak bercakap dengan sesiapa. Nak bersuara pun aku tak mampu. Aku tak makan. Tak minum. Sungguh aku patah hati!
“Andika...”
Aku tak menyahut. Lenganku masih menutup dahi. Tiada niat nak bersuara.
“Sampai bila kau nak jadi mat patah hati ni?”
Masih senyap dengan teguran Ayie.
“Andika...”
“Aku... tak boleh terima bila dia patahkan gitar aku! Kalau dia nak reject aku, aku tak kisah. Tapi jangan sentuh gitar aku, bhai! Gitar first aku. Gitar yang aku beli guna duit belanja sekolah aku! Kenapa dia tak belasah je aku? Kenapa mesti gitar aku jadi mangsa?!” Aku bangun dari baringku.
Ayie terdiam terus saat aku membentak.
“Andika, istighfar banyak-banyak.”
“Odie, gitar tu... aku sayang kot. Gitar tu sama penting macam vespa aku. Hidup aku, kalau tak ada handphone, tak ada MP3 aku tak kisah wei. Tapi aku perlukan gitar tu. Aku perlukan vespa aku. Dua tu je. Aku tak minta lain, wei!”
“Benda dah jadi. Kau tak boleh jadi macam ni, wei. Kau kena bangkit. Balas dendam dekat si Adinda tu!”
Aku terdiam, balas dendam kat Adinda? Tak mungkin! “Aku bukan pendendam!”
“Kau still sukakan Adinda?”
Soalan Odie buat aku berfikir lama. Selepas seketika, baru aku menjawab. “Tak!”

Aku melangkah ke dewan kuliah sambil menyumbatkan earphone ke dalam telinga. Lagu Bunk Anthem dendangan Bunkface berlagu. Selepas seminggu menyendiri, baru hari ini aku mampu melangkah kembali tapi langkahku masih sumbang. Di mindaku cuma ada rupa gitar aku yang sudah patah dua.
Langkahku mati bila aku bertemu dua mata dengan dia. Dia, Adinda Amani.
Dia pandang aku. Aku pandang dia. Tapi seketika cuma sebelum aku alih pandangan dan terus berlalu.
Dari ekor mata, aku nampak dia turut alih pandangan dari memandang aku. Aku berhenti melangkah dan aku berpaling ke belakang. Dia terus berlalu langsung tiada kata maaf. Heh, aku tak kisahlah wei!
Tapi...
Betul ke aku tak kisah?

Odie menarik tanganku masuk ke dalam kedai peralatan muzik. Sebenarnya aku tidak mahu mengikut mereka ke bandar kerana inilah! Sebab aku dah tahu agenda mereka. Mereka mahu mencari gitar baru untukku. Mereka masih tidak faham rupanya! Tiada gitar lain yang mampu ganti gitar itu!
“Andika, jomlah!”
“Tak nak!”
“Kita usha-usha dulu, bukan suruh beli sekarang!”
“Tapi...”
“Masuk dulu, Dika!” Alif tolak bahu aku
Aku hela nafas. Andika, chill. Ikut je dulu. Kau bukan nak beli kan?
“Jom!” Ayie masuk ke dalam kedai.
Odie pandang aku. Aku angguk sekali. Kali ni je, Andika!
Baru aku nak tolak pintu masuk ke kedai itu, pintu itu terbuka dari dalam.
Langkah aku mati. Kenapa mesti kat sini pun aku jumpa dia?
Dia pun macam tersentak bila nampak aku. Dia angkat kening. Aku buat muka toya.
“Tepilah! Nak lalu!” Suara dia keras.
Aku pandang Odie, “Kau cakap dengan aku ke, Odie?”
Odie garu kepala lalu menggeleng.
“Tepilah!” Masih keras suara itu lalu aku pandang Alif.
“Kau cakap apa tadi, Alif?” Aku pandang Alif.
Alif terkulat-kulat bila aku bertanya seperti itu.
“Huh!” Dia merengus lalu dia pandang Odie.
“Cakap baik-baik, insyaAllah dia bagi awak lalu.”
Aku nampak dia renung aku seketika lalu dia alih pandangan ke arah yang lain, “Boleh tolong tepi sikit? Aku nak lalu.”
Aku ukir senyum sinis lalu aku pandang dia, “Eh, boleh pulak cakap baik-baik ye?”
Dia pandang aku tapi aku alih pandangan ke tempat lain. Aku berganjak sikit dari tempat yang aku berdiri, “Lalulah!”
Dan dia terus berlalu tanpa menoleh sikit pun kepadaku. Hati aku sedikit kecewa, entah kenapa. Apa lagi yang kau harapkan, Andika?

“Kau balik Perak minggu ni?”
Aku angguk. Tanganku bermain dengan kunci vespaku yang ada di atas meja.
“Ada hal ke?’
Aku geleng, “Saja nak balik.”
“Nak aku ikut?” Odie pandang aku.
Aku geleng, “Aku balik sorang je.”
Odie menggeleng, tanda tidak setuju.. Alif dan Ayie merenung aku dengan pandangan yang sukar aku tafsirkan. Si Helmi, dia memang tak cakap apa-apa. Dia bersetuju saja dengan keputusanku.
“I’ll be okay, guys. Aku bukan nak terjun bangunan, aku nak balik rumah aku je.”
“Naik bas?”
“Heh, vespa ada. Naik vespa sudahlah.”
“Sure?”
Aku mengangguk. Teh tarik aku teguk. Aku nak balik, merawat kelukaan akibat gitar tapi... betul ke pasal gitar?

Aku memulakan perjalananku ke Perak dengan lafaz Bismillah. Odie semalam, melarang keras aku balik naik vespa. Bahaya katanya sebab aku seorang diri. Heh, aku lelakilah Odie! Bukan perempuan. Ya, aku akui. Memang bahaya kalau balik malam-malam tapi aku lebih suka balik malam. Kenapa? Sebab tak panas terik. Kereta pun tak banyak.
“Kau sure ni nak balik?”
Aku pandang Odie lalu aku mengangguk. Hari ni, dah dekat dua puluh kali dia tanya soalan yang sama.
“Odie, pandailah si Andika jaga diri dia,” Ayie duduk di muka pintu sambil memegang mug yang berasap.
“Ayie, apa kata kau pakai baju? Badan kau tak tough mana nak tayang dekat luar ni,” Odie menolak bahu Ayie yang bersentuhan dengan bahunya.
“Eh, badan aku tough kot! Six pack lagi.”
“Six pack benda? One pack only ma...” Odie menepuk perut Ayie yang terdedah! Gaya macam lucah pulak aku tengok budak berdua ni.
“Sudahlah korang! Aku balik dulu. Kirim salam Helmi dengan Alif.”
“Jaga diri, Andika. Apa-apa, call aku.”
Aku menyarung helmet kura-kura sambil mengukir sengih pada Odie, “Kalau orang yang tak kenal kita, mungkin dah kata kita ni gay.”
Odie garu kepala, “Aku dah terbiasa, wei.”
“Faham. Okeylah, aku balik dulu. Assalamualaikum,” dan vespaku terus meluncur meninggalkan perkarangan rumah sewaku.

Aku melangkah keluar dari 7-Eleven. Malboro Light yang masih belum dibuka peknya, aku masukkan ke dalam poket. Air mineral jenama Bleu aku buka penutupnya lalu aku teguk rakus. Dahaga mencengkam tekak. Sengaja aku singgah ke kedai 24 jam ini, aku ingin beli bekalan makanan siap-siap. Kalau di RnR, mahal kot.
Aku melangkah mendekati vespaku yang kuparkir di depan 7-Eleven. Baru aku nak sarung helmet kura-kuraku, aku tiba-tiba ternampak Adinda di hujung lot, kawasan yang agak gelap untuk perempuan sepertinya berkeliaran. Dia seperti sedang bergaduh dengan seorang lelaki. Apa yang terjadi sebenarnya?
“Lepaslah, bodoh!” Aku dengar suara Adinda, nyaring menjerit. Tangannya dipegang oleh lelaki tadi. Aku pandang sekeliling. Tiada orang, kecuali aku.
“Tolong!”
Aku kembali memandang Adinda yang wajahnya sudah berubah warna. Kalau sebelum ini, wajah itu tampak sombong tapi kali ini wajah itu nampak penuh dengan ketakutan. Tiba-tiba aku teringat cerita Odie,
“Tapi adik dia kena rogol waktu balik dari mengaji. Dirogol dan dibunuh dengan kejam. Adindalah orang yang paling sedih. Sejak kematian adiknya, dia jadi makin keras. Dengan mana-mana lelaki sekalipun kecuali ayahnya dan dua abangnya.”
Helmet kura-kura aku letak kembali di atas vespaku lalu aku terus pergi ke arah Adinda itu. Di dalam hati, aku bertekad! Aku takkan biarkan perkara yang pernah berlaku dalam keluarga Adinda berulang kembali!

“Lepaskan tangan dia!” Aku bersuara sambil bersandar di dinding lot kedai. Macho kan?
“Kau jangan kacau akulah, bodoh!” Lelaki yang memegang tangan Adinda, memandang aku.
Aku terus berdiri tegak bila aku nampak si lelaki yang memegang tangan Adinda. Syabil!
“Oh, kau! Kau tak payah tunjuk herolah, mat pit!”
Mangai! Mat pit dipanggilnya aku! “Lepaskan tangan dia, Syabil!” Aku mendekati mereka berdua.
“Andika, pergi! Jangan datang. Syabil ni bukan lawan awak!” Adinda merenung aku dengan mata berkaca-kaca. Suaranya lembut, tak seperti selalu. Apa yang jadi ni?
Andika?! Dia tahu nama aku? Dia panggil aku... awak? Oh, Adindaku! “Habis tu, awak nak saya biar awak kena makan dengan mamat bajet kuat ni?”
“Kau kata apa?” Syabil merenungku dengan tajam.
“Lepaskan Adinda! Dia bukan lawan kau!” Ujar aku, masih mencuba untuk berdiplomasi.
“Kalau macam tu? Siapa lawan aku? Mat pit macam kau? Heh, cermin diri dulu! Kau tu tak mampu nak selamatkan perempuan ni! Lagipun, aku takkan lepaskan dia. Dia dah malukan aku dulu!”
Aku genggam penumbuk lalu aku hadiahkan pada muka si Syabil! Terjatuh mamat tu kena penumbuk aku.
“Kurang ajar!” Dan tiba-tiba pipiku ditumbuk. Betullah kata si Adinda, memang aku bukan lawan si Syabil. Aku bagi sekali tapi dia bagi aku berkali-kali.
“Adinda! Lari!” Jeritku, sebelum sebiji lagi penumbuk lekat di pipiku. Dia menggeleng. Ada air mata yang mengalir dari matanya.
“Lepaskan dia, Syabil!” Adinda memukul lengan Syabil yang sedap menghadiahkan penumbuk kepadaku.
“Tepilah, perempuan!” Adinda terjatuh ditolak Syabil.
“Hoi! Apa kau buat tu?” Satu suara kedengaran. Kolar bajuku yang ditarik, dilepaskan Syabil lalu Syabil terus lari meninggalkan aku yang sudah jatuh terkulai.
“Andika!” Aku terasa kepalaku dipangku oleh Adinda. “Tolong telefon ambulans, awak! Tolong! Please!” Dia menjerit pada entah siapa yang ada di situ.
“Aw... awak okey... kan?” Aku buka mataku yang terasa perit.
Adinda mengangguk, laju. “Andika...” Air mata mengalir dari mata Adinda terus ke pipinya.
“Sa... ya... su... ka... a...wak.. Adinda. Dan ma... sih su... kakan a... awak. A... akan... te...tetap su... kakan... a... awak!” Dan pandang aku gelap.
“Andika!!”

“Isyraf, bangun sayang. Bonda datang ni”
Aku dengar tapi aku tak boleh nak buka mata.
“Bangunlah, sayang! Bonda datang nak jumpa Isyraf. Bangun ye, sayang?”
Masih aku dengar namun tidak mampu aku balas.
“Sayang, bagi Isyraf masa. Dia masih dalam keadaan tak sedarkan diri. Jangan macam ni.”
“Isyraf tak nak bangun abang. Saya nak Isyraf bangun macam dulu. Kacau saya bila saya memasak. Yang selalu bermanja dengan saya. Saya nak Isyraf yang dulu.”
Alahai bondaku ini! Janganlah menangis.
“Tuan, saya rasa ada baiknya tuan bawa puan berehat dulu. Kalau Andika dah sedar, saya beritahu tuan dan puan.”
Odie! Tu suara Odie! Haih, Odie ni! Berapa kali aku nak cakap? Jangan panggil bonda dengan ayahanda dengan panggilan tuan dan puan. Panggil aunty, uncle dah cukup. Terlalu merendah dirilah si Odie ni. Tunggu aku bangun, aku brainwash kau!
“Adinda. Awak jagakan Andika kejap. Kalau dia bangun, panggil doktor. Saya nak pergi toilet kejap.”
Adinda? Dia ada kat sini? Pergi toilet lama-lama tau, Odie.
“Andika... bangunlah! Bangunlah! Saya tak suka tengok awak kaku macam ni. Maafkan saya! Kalau bukan saya, awak takkan jadi macam ni.”
Sedih pulak aku dengar suara dia merayu-rayu. Cis, anak derhaka kau ni Andika! Bonda merayu, kau tak sedih pulak.
“Saya... minta maaf. Dulu, saya pecahkan gitar awak! Awak tahu tak, saya pergi kedai muzik hari tu sebab saya nak ganti balik gitar tu walaupun saya tahu, sentimental value dia tak sama. Saya rasa bersalah sangat bila dapat tahu dari Aliya yang awak demam seminggu sebab gitar tu dah patah dua sebab saya. Saya rasa semakin bersalah bila dapat tahu yang gitar tu gitar yang paling awak sayang. Yang awak beli guna duit belanja sekolah awak. Sungguh, saya rasa bersalah. Saya tak tipu!”
Hmm... teruskan lagi, Cik Adinda.
“Aliya... baik dengan Odie. Saya baru tahu. Dari cerita Aliya... saya tahu semuanya pasal awak. Pasal vespa cabuk awak. Tentang Odie, anak orang gaji awak merangkap kawan baik awak. Semuanya tentang awak dan pastinya tentang perasaan awak.”
Rasa nak menangis pulak dah bila Adinda buat sesi luahan hati ni.
“Awak bangunlah... saya nak beritahu awak... tentang perasaan saya pulak!”
Dan kala itu, aku rasa betul-betul nak bukak mata!

“Kau tahu Syabil kena tahan polis?”
Aku pandang Odie lalu aku gelengkan kepala, “Kenapa?”
Odie yang memandang aku yang sedang memasukkan baju ke dalam beg, “Dia... hisap ganja.”
“Heh, kureng punya Syabil! Itu hari, dia bukan main menuduh aku mat pit padahal dia tu yang taik dadah!” Aku membebel, geram. Kenapa aku geram? Hish, sebab orang selalu tuduh aku mat pit padahal aku tak pernah sentuh benda tu. Ya, memang aku hisap rokok tapi aku dalam proses nak berhenti! Serius ni! Tak tipu.
“Assalamualaikum.”
Aku alih muka pada pintu masuk wad. Adinda! Berbaju kurung dan bertudung. Wait! Dia pakai tudung? Alhamdulillah!
Dia ukir senyum padaku. Aku pandang dia seketika kemudian aku alih muka dari merenung dia.
“Dah boleh keluar wad ke?” Aku dengar dia bertanya. Mak aih, lembutnya suara! Cair! Cair!
Tapi yang peliknya, aku diam. Tak ada rasa nak menjawab pun.
Odie menyiku aku.
“Apa Odie?”
“Adinda tanya tu!”
“Heh? Siapa? Aku tak ada nampak sesiapa pun selain dari kita berdua. Kau demam ke apa?”
Odie tepuk dahi. Tak fahamlah tu kenapa aku jadi macam ni.
“I shouldn’t be here, right?”
Odie pandang aku. Aku jeling Odie, “Kalau dah tahu, baguslah.”
Odie tepuk dahi sekali lagi. Eh, dia ni! Main tepuk-tepuk dahi, hilang ilmu nanti baru tau.
“Odie, dah siap! Jom!” Aku berpaling dan terus berjalan melepasi Adinda. Sikit pun aku tidak pandang, tegur, jeling, kerling dan senyum pada dia. Kenapa? Saja. Aku mahu menderanya.
“Sorry! Lepas sedar, otak dia weng sikit!” Aku dengar Odie bersuara pada Adinda.
“Odie, jomlah!” Separuh menjerit aku bersuara.
“Ye! I’m coming.”
Odie terus beriringan denganku. Adinda? Entah. Sikit pun aku tidak menoleh ke belakang.

Masa untuk pulang! Kelasku sudah habis untuk hari ini. Aku segera keluar dari dewan kuliah dan aku atur langkah pada vespa putihku. Aku ternampak sehelai post-it-note berwarna merah jambu dilekat di atas seat vespaku.
Sila pergi ke pentas foyer fakulti sekarang!
Hanya itu yang tertulis. Haih, tak tahu ke aku nak balik ni? Dengan langkah separuh malas, aku berjalan menuju ke foyer fakulti.
Saat kakiku sudah menghampiri bahagian foyer, ada sebuah lagu tiba-tiba berkumandang.

Aku takkan lelah menunggu
Hingga waktu ajal menjemputku
Takkan pernah sesalku untuk menunggumu

Aku harus tetap menunggu
Hingga nanti aku berbaring
Sampai mati aku akan tetap menunggumu

Ingin ku gapai bulan dan ku petik bintang
Ingin ku bagikan semua hanya untukmu
Agar kau tahu besarnya cintaku kepada dirimu

Ku ingin kau tahu tentang perasaanku
Ku ingin kau tahu besar cinta padamu
Ingin ku berikan sisa waktuku
Dan sisa hidupku sampai mati

Apakah? Inikan lagu... dan langkahku mati saat aku ternampak Adinda sedang memetik gitar di sebuah kerusi. Matanya merenung aku. Bibirnya melagukan lagu Tentang Perasaanku dengan sepenuh hati walaupun bunyi gitarnya kedengaran sumbang tapi ada sesuatu yang terkesan di hatiku. Gitar yang dipangku Adinda membuatkan jantung aku berdetak laju. Gitar itu! Sangat serupa dengan arwah gitarku yang dulu. Warnanya. Sticker yang terlekat. Hampir 90% sama.
“Dia sedang cuba beritahu awak tentang perasaan dia,” entah bila, Aliya berdiri di sebelahku.
“Sejak bila?” Aku bertanya dengan mata masih tak lepas dari merenung dia.
“Sejak saya bercerita pada dia tentang awak dan kehidupan awak.”
“Dia mengaku pada awak?”
Aliya mengangguk dengan pertanyaanku.
“Dia serius ke?”
Aliya mengangguk lagi, “Kalau dia tak serius, dia takkan buat benda ni.” Sebuah buku skrap dihulur kepadaku.
“Apa ni?”
“Take a look and you’ll know.”
Aku buka helaian yang pertama. Ada gambarku dalam pakaian sekolah.
Dia kurus. Dia keding. Dia kerempeng. Tapi... ada sesuatu tentang dia. Yang buat hati ini. Berdebar sentiasa.
Helaian seterusnya ada gambar aku bersama Odie.
Kawan sehidup semati. Setiakawan orangnya. Kalau dia jadi seorang pencinta, akan setiakah dia?
Gambar seterusnya. Aku dengan t-shirt I Am Lejen, seluar jeans lusuh dan sebatang rokok terkepit di celah jari.
I hate smokers. He is a smoker. But why I do not hate him?
Helaian seterusnya aku selak. Gambar aku duduk di atas vespa dengan sengih lebar.
Dia serabai. Dia selekeh. Tapi dia comel bila senyum macam ni. What’s wrong with you, Adinda?-.-
Bibirku terukir sengih bila baca caption yang ada. Hati terasa kembang tiba-tiba.
“Gambar ni...” Aku pandang Aliya namun Aliya cuma ukir sengih tak bersalah.
“Aku bagi. Adinda yang minta pada aku itu hari,” Odie tersengih.
“Kejap!” Dan aku melangkah meninggalkan mereka berdua.

“Apa motif awak ni? Dah tak ada kerja ke, Adinda Amani?” Buku skrap yang aku pegang tadi, aku campak ke lantai.
Dia terkaku. Matanya menekur memandang buku skrap yang ada di atas lantai.
“Apa awak cuba buat, Adinda? Nak mainkan saya lepas awak tolak saya?”
Adinda masih diam.
“Pandai awak merayu Odie untuk ambil gambar saya, kan? Memang tak ada rasa malu, kan?”
Dia angkat muka. Matanya merenung aku. Sepasang mata itu, ada air yang bertakung di kolam matanya.
“Memang! Memang saya yang tak malu!” Dia mengutip buku skrap yang dah ada di lantai dan terus berlalu.
“Apa kau buat ni?” Odie memukul aku.
Aku angkat bahu.
Aliya merengus, “Awak ni! Saya ingatkan... kalau saya beritahu awak, awak akan balas perasaan dia! Sampai hati awak!” Dan Aliya berlalu untuk mengejar Adinda.
Gitar yang Adinda tinggalkan, aku ambil. Ada sesuatu yang menarik perhatianku.
“Dia minta orang ukirkan nama kau atas gitar ni.”
Aku pandang Odie. Aku ukir sengih.
“Kenapa kau buat dia macam tu?”
“Adalah!” Dan sengihanku melebar.

“Aku minta maaf, Adinda.”
“Kau tak patut bagi buku ni dekat dia! Kau tengok! Dia hina aku, Aliya!”
Aku tersengih mendengar sedu-sedan si Adinda di tepi tasik.
“Aku tak sengaja! Aku ingatkan, dia akan terharu.”
“He will not. Aku kenal dia.”
“Betul ke awak kenal saya?” Aku bersandar di pokok besar.
Kedua-dua orang gadis itu terkejut dengan kehadiran aku yang tiba-tiba. Si Adinda pantas bangun dari duduk dan terus melangkah melepasi aku namun aku lebih pantas memegang lengannya. Haih, berdosa lagi aku...
“Aliya, tinggalkan saya dengan Adinda kejap, boleh?”
Aliya mengangguk laju. “Boleh! Boleh sangat.”
“Aliya! Janganlah tinggalkan aku!” Lembut je suara dia. Dah tak kasar macam dulu. Ish, aku dah tergoda ni! Bonda, Isyraf nak kahwin!
“Aliya nak pergi dating dengan Odie.”
“Saya nak ikut dialah!” Suara dia naik satu oktaf. Wah, kembali garang.
“Tak boleh!”
“Kenapa?”
“Tempat awak kat sini. Dengan saya!”
“Ish! Tak nak duduk sini dengan mamat keding macam awak!”
Keding dia panggil aku! “Eh, mulut tu baik sikit! Saya cium karang, baru awak tahu!”
Pantas, dia menutup mulut! Tau takut dengan aku.
“Saya suka awak, Adinda.”
Dia renung aku dengan riak terkejut.
“Saya minta maaf pasal tadi. Saya sengaja sakitkan hati awak. Saya nak tengok awak marah sebenarnya tapi awak tetap diam.”
“Apa motif awak? Awak tak ada kerja ke, Andika?”
Terdiam aku bila dia menyindir aku seperti itu. Sinis.
“Sinis.”
“So?” Dia buat muka kerek.
“Awak memang suka mintak saya cium awak, kan?” Usikku.
Wajah itu berubah warna. Hailah, comelnya awak ni!
“Saya sangat sukakan awak. Saya mengaku, saya marah bila awak hancurkan gitar saya. Tapi pelik, saya masih sukakan awak. Walaupun bila Odie tanya saya masih sukakan awak, saya kata tak. Hati saya tetap nak awak.”
Dia diam.
“Saya tak pernah suka perempuan macam saya suka awak, Adinda. Something about you, different from others.”
“Saya pun tak pernah suka lelaki macam saya suka awak, Andika. Sesuatu tentang awak, lain dari orang lain.”
“Copy paste ayat saya, nampak?” Aku bersuara, sinis.
“Eleh, kedekut!”
Tiba-tiba kami berdua dia. Aku pandang langit, dia pandang tasik. Kelu lidah tiba-tiba.
 “Saya benci perokok tapi saya tak mampu nak benci awak,” ujarnya tiba-tiba.
Aku pandang dia. It’s okay, Adinda. Saya akan cuba berhenti. Untuk awak!
“Saya tak suka lelaki kurus. Terutamanya macam awak, tapi saya tersuka dekat awak walaupun awak macam rangka bergerak.”
Aku tepuk dahi. Rangka bergerak?!
“Tapi peliknya, saya masih suka awak. Awak pakai guna-guna ke apa ni?”
Aku ketawa dengan kata-katanya, “Awak... orang sini kan?”
Dia mengangguk, “Kenapa?”
“Minggu depan saya hantar rombongan merisik, boleh?”
Dan dia dah jatuh rahang. Hey, I like you Cik Adinda.

Aku masuk ke bilik pengantin yang sudah dihias indah. Setahun lima bulan tempoh pertunangan kami berdua dan hari ini, aku dan dia sudah terikat dalam sebuah ikatan perkahwinan. Kalau ikutkan, bonda dan ayahandaku mahu buat majlis pada awal tahun depan kerana Adinda baru graduate manakala aku baru setahun bekerja. Ekonomi masih tidak stabil ketika itu tapi mungkin kerana rezeki aku, aku naik pangkat dan memegang jawatan yang agak besar walaupun baru berkerja. Dan mungkin juga jodoh kami memang tersangatlah kuat untuk menikah lebih awal dari tarikh yang ditetapkan. Hehehe...
 Kad kahwin yang ada di atas meja solek aku capai. Suka aku tengok kad kahwin aku. Walimatulurus Andika dan Adinda. Tak ke nampak comel macam tu?
“Abang dah solat?” Entah bila, dia muncul. Aku pun tak tahu.
Aku mengangguk. “Adinda?”
Dia mengangguk. Dia berdiri kaku di kaki katil. Ada sesuatu yang pelik dengan dirinya malam ini.
“Adinda, kenapa berdiri kat situ? Sinilah!”
Dia menggeleng. Heh, dia betul-betul dah berubah menjadi lemah-lembut. Comelnya. Isteri siapalah ni?!
“Kenapa?”
“Tak nak.”
“Takut dengan abang?”
Geleng, “Siapa nak takut dengan abang yang kurus keding macam ni?”
Aku bangkit dari duduk lalu aku hampiri dia, “Cuba ulang sekali lagi.”
“Siapa yang takut dengan abang yang kurus keding macam ni? Nak angkat Adinda pun belum tentu mampu!”
Aku ukir senyum sinis dan sekelip mata, tubuh itu aku cempung, “Puan Adinda, jangan pandang rendah pada kekuatan seorang lelaki. Kekuatan seorang lelaki itu bukan dari kurus atau gemuk seseorang itu. Ia datang dari dalaman, sayang!” Bisik aku lalu aku jatuhkan dia di atas katil.
“I know! Adinda sengaja cabar abang,” dia tersenyum manis, menggoda.
Dan aku, haruslah tergoda oi!

36 comments:

  1. hahaha,,waduh3....nape sweet sgt cite ni?haha...besla...:)

    ReplyDelete
    Replies
    1. sweet ke??hehehe...terima kasih :)

      Delete
    2. sweet sangat,,suke bile ape je perbuatan adinda nampak cute kat mata andika...hehe

      Delete
    3. hahaha...adinda dan andika ;)

      Delete
  2. T.T cik Arda kadar diabetes anda meningkat gara-gara perbuatan cik najwa.oleh itu, cik najwa harus d'saman ha3... best mcm bese weh..tp ad eh laki yg blush? ha3

    ReplyDelete
    Replies
    1. erk...sila cucuk insulin...hahaha...ada rasanya tapi tak ramai...andika ni spesies lain dari yg lain ;)

      Delete
  3. siyes comeyl dedua neh..

    "ayu ayriez"

    ReplyDelete
  4. sweet xde sour la citer ni wahai najwa. awat citer awak semuanya sweet ni. melting jap akak ngan si andika time last2 tu hihihihi

    ReplyDelete
    Replies
    1. tak ada eh?kita tak suka buat cerita yang sour2...sebab nanti kita pun sour...hahaha :D

      Delete
  5. ARGGGHHHHHHHHHH!!!!!!!!! aku benci kau najwaaaaaa... sebab cite ni bestttt... buat aku tersenyum senget hero berottt macam cencorotttt... sampai boss duk depan mata aku tak nampakkkkk...

    andika terrrrrrrrBAAAAAAIIIIIKKKKK!!!! lebiu lahh

    ReplyDelete
    Replies
    1. hahahaha...apa salah aku...jgn benci aku...hahaha...:D

      Delete
  6. fuuhhhh....ingatkan btol2 andika da tak ske ngn adinda...
    nak test je rupenye...hahaha...

    ReplyDelete
    Replies
    1. uish...andika tak mungkin tak suka pada adinda :)

      Delete
  7. So sweettt.... selalu apa yang kita x suka pada seeorang itu yang kita dapat dan akan suka... Andika dan Adinda... besttt

    ReplyDelete
  8. alahaii sweet...best sgt2.. adinda n andika.. :)

    ReplyDelete
  9. Terbaik.. Best.. Ayat sempoi jer..

    Dania

    ReplyDelete
  10. hahahahhaha... cute couple andika adinda.... mcm comel jer dika panggil adinda... XD
    -Song Hyun Sun-

    ReplyDelete
  11. manislah sgt macam gula2......

    ReplyDelete
  12. sweet gile..........
    all the best 2 cik najwa ®_®

    ReplyDelete
  13. thorbaekkkk la.. dah tiga bulan kot aku dok ulang baca cerpen² kat blog nie..not bad. -_-"

    ReplyDelete